Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 APRIL 2024 : Umat Islam khususnya rakyat Pahang diseru agar dapat meneruskan ibadah meskipun Ramadan telah melabuhkan tirainya dan diganti sambutan Aidilfitri yang memasuki hari kedua.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah, pelbagai bentuk ibadah dipertingkat ketika tiba bulan Ramadan dan diharapkan ianya dapat diteruskan pada bulan-bulan lain.
“Teruskan ibadah, puasa enam, sembahyang di masjid waktu subuh, mengaji Al-Quran, didik anak-anak kita semua supaya teruskan amalan,” titah baginda ketika berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang 2024 yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, pagi tadi.
Turut mengiringi baginda ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail selaku tuan rumah, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.
Majlis Rumah Terbuka YAB Menteri Besar itu telah bermula jam 9 pagi tadi dan dijangka 9,000 tetamu akan memeriahkan sambutan sehingga jam 4 petang nanti. – PAHANGMEDIA

