Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN , 08 APRIL 2024 : Tiga kawasan di negeri ini mengalami kebakaran hutan berskala besar iaitu di Inderapura di Kuantan, Rompin, dan Gebeng.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, YS. Dato’ Ir. Ts. Dr. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata tiga kawasan tersebut merupakan sebahagian daripada 700 kawasan yang direkodkan mengalami kebakaran.
“Kebakaran di seluruh Negeri Pahang, kita ada 700 hotspot yang telah kita hadapi berkaitan kebakaran hutan tetapi pada dasarnya ada tiga kawasan yang besar (kebakaran) dan menjadi fokus utama di Pahang iaitu di Inderpura ini, Rompin, dan Gebeng.
“Yang lain-lain adalah kebakaran kecil termasuklah kebakaran belukar dan kebakaran hutan secara kecil.
“Di Inderapura lebih kurang 10 hektar, di Rompin 180 hektar, dan di Gebeng 4 hektar kawasan yang mengalami kebakaran melibatkan kawasan hutan dan tanah gambut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Pahang Media selepas keberangkatan pulang Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Taman Inderapura Jaya hari ini.
Menurut beliau Kebawah Duli Paduka Baginda turut menyarankan penggunaan helikopter bagi operasi bom air di kawasan yang tidak mempunyai akses bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
“Kami Jabatan Bomba menjunjung kasih di atas keperihatinan Tuanku terhadap pasukan bomba dan ada beberapa saranan Tuanku bagi menjalankan operasi dengan lebih efektif termasuklah penggunaan helikopter bagi water bombing bagi memadamkan kebakaran dari udara memandangkan kesukaran melalui darat.
“Kita telah melalui proses permohonan ke Bahagian Udara di Ibu Pejabat dan insyaAllah jika tidak ada apa-apa masalah penggunaan helikopter di tempat lain, esok helikopter akan sampai ke Pahang.
“Kita akan guna helikopter bagi tujuan tinjauan bagi kawasan terbakar, bagaimana mencari jalan masuk, dan kita akan jalankan operasi daripada darat dan sekiranya ada punca air yang sesuai kita akan lakukan water bombing,” katanya.
Setakat hari ini, ketiga-tiga kawasan kebakaran utama masih dalam operasi pemadaman dengan Inderapura masih berbaki 2 hektar; Rompin berbaki 16 hektar; dan Gebeng berbaki 1 hektar. -PAHANGMEDIA