Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN , 08 APRIL 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli berangkat ke Pos Kawalan Bomba di Inderapura Jaya hari ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda yang berangkat dengan memandu sendiri ke pos kawalan tiba pada 7 petang bagi meninjau kawasan kebakaran serta mendengar sembah taklimat berkenaan kebakaran yang berlaku.
Mengiringi keberangkatan Paduka Baginda, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, YS. Dato’ Ir. Ts. Dr. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira satu jam setengah bersama pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, 12 Rejimen Askar Melayu DiRaja (Mekanize) di bawah naungan 4 Briged (Mekanize), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Baginda turut berkenan berbuka puasa bersama serta menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum berangkat pulang. -PAHANGMEDIA

