Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 8 APRIL 2024 : Kerajaan Pahang bersetuju membiaya kos rawatan penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri di Sultan Ahmad Shah Medical Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM) di Kuantan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang pada 3 April 2024 dan akan berkuatkuasa mulai April 2024.
“Ia merupakan inisiatif Kerajaan Negeri secara berterusan dalam memastikan kebajikan penjawat awan terus dijaga.
“Pembiayaan kos rawatan ini meliputi penanggungan 30 peratus bil rawatan perubatan dan penanggungan 100 peratus bil rawatan ubat khas, ubat non-formulary (NF) dan implant,” katanya dalam satu kenyataan beliau menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.
Dalam kenyataan sama, beliau berkata, pembiayaan kos rawatan bagi kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pihak Berkuasa Berkanun (PBB) juga turut meliputi penanggungan 30 peratus bil rawatan perubatan dan penanggungan 100 peratus bil rawatan ubat khas, ubat non-formulary (NF) dan implant adalah ditanggung agensi masing-masing.
Jelasnya, keputusan itu dibuat bertujuan mengurangkan kesesakan yang berlaku di hospital hospital dan juga klinik-klinik kerajaan.
“Saya mengharapkan menerusi pembiayaan ini, penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri dapat menggunakan perkhidmatan rawatan kesihatan di SASMEC@IIUM dengan sebaik-baiknya,” katanya. – PAHANGMEDIA

