Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 5 APRIL 2024 : Ziarah Kasih oleh YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dapat menjalinkan ukhwah dan silaturrahim di kalangan bekas-bekas Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) tanpa mengira kaum dan politik.
Hal ini dipersetujui oleh bekas ADUN Beserah (Penggal Ke-12), Tuan Syed Mohammed Tuan Lonnik, yang berpendapat bahawa Ziarah Kasih ini amat baik dari segi bentuk perubahan dalam konteks mengekalkan hubungan meskipun persahabatan.
“Politik itu peribadi masing-masing, perjuangan masing-masing, tetapi dari sudut kita membawa parti jangan sampai kita jadikan parti itu sebagai kehidupan harian kita, dalam konteks perjuangan itu ukhwah perlu dijaga,” katanya.
Bagi bekas ADUN Beserah (Penggal Ke-10), YH, Dato’ Sri Haji Fauzi Abdul Rahman, dari PKR pula sangat teruja dengan kunjungan oleh Dato’ Sri Mohd Sharkar yang disifatkan prihatin dalam mencari persamaan perjuangan masing-masing.
“Kita janganlah mencari perbezaan (politik), lihat kepada persamaan di antara kita, dan saya percaya banyak persamaan kita.
“Negara kita ini biarlah berpolitik secara matang, kita berbeza itu biasa, suami isteri pun ada perbezaan, gigi dan lidah tergigit, tetapi kita sepatutnya menunjukkan sikap persamaan,” katanya.
Manakala bekas ADUN Peramu Jaya, YH. Dato’ Ibrahim Awang Ismail, dari BN juga terharu dan merasaka Ziarah kasih ini memberikan tanda ingatan bagi mengeratkan silaturrahim sesama bekas ADUN.
Jelasnya, kunjung ziarah seumpama ini mampu membuka mata masyarakat terhadap keikhlasan para pemimpin dalam menjalin silaturrahim tanpa mengira parti perjuangan.
“Masyarakat juga akan memberikan pandangan berbeza menerusi kunjung ziarah pelbagai kaum dan politik ini,” katanya.
Kesemua mereka telah menerima kunjungan daripada YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin yang ingin berkongsi kegembiraan Ramadan dan tidak lama lagi Syawal bakal menjelma. – PAHANGMEDIA

