Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 4 APRIL 2024 : Jumlah kenderaan masuk ke negeri Pahang dijangka mencatatkan pertambahan sehingga 2.3 juta buah menjelang Aidilfitri yang bakal disambut minggu hadapan.
Sehubungan dengan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata penguatkuasaan dan kawalan lalu lintas akan digiatkan dengan penugasan lebih 300 orang anggota trafik di seluruh daerah di negeri ini.
“Ops Selamat pada 8 hingga 13 April dan Ops Lancar pada 5, 8 serta 13 dan 14 April ini diadakan bagi memastikan perjalanan lancar dan kita juga membuat penugasan di tempat-tempat blackspot dan hotspot sebagai usaha mengekang dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
“Kita (polis dan JPJ) tidak teragak-agak untuk memberikan saman atas kesalahan yang dilakukan terutama dari segi potong barisan, menghalang lalu lintas yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Kempen Op Selamat Bersepadu 22 sempena Aidilfitri Negeri Pahang 2024 di Jalan Kuantan-Pekan, di sini
Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Tuan Ir Razali Kassim serta Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Tuan Kamarul Iskandar Nordin.
Sementara itu Datuk Seri Yahaya mendedahkan, terdapat 31 lokasi blackspot (kerap terjadi kemalangan termasuk kemalangan maut) antaranya Jalan Gambang ke Muadzam selain kebanyakannya merupakan di Jalan Persekutuan.
“Pada tahun lalu kita dapat kurangkan sebanyak 35 kes kemalangan dalam tempoh Ops Selamat berbanding tahun 2022, namun kes kemalangan maut meningkat sebanyak empat kes pada tahun lalu berbanding hanya 13 kea pada tahun sebelumnya (2022).
“Kita berharap dapat kurangkan lagi kes kemalangan melalui kempen-kempen ini sekaligus memberi kesedaran pada pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan memastikan perjalanan mereka selamat.
“Saya minta semua pengguna raya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan juga arahan-arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa bagi memastikan semua pengguna sampai ke tempat yang dituju dalam keadaan selamat,” katanya. -PAHANGMEDIA

