Oleh : Fansurina Abdullah
PEKAN, 4 APRIL 2024 : Program Ziarah Kasih anjuran Pejabat Dewan Negeri Pahang yang dimulakan tahun lalu berjaya melangkaui batas politik dan perkauman di negeri ini.
YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ini merupakan salah satu usaha Pejabat Dewan Negeri untuk meneruskan silaturrahim sesama barisan kepimpinan Pahang sejak dahulu lagi tanpa mengambil kira fahaman politik dan perkauman.
“Kita tidak kira apa parti politik pun, selagi dia pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada BN, Pas, Bebas, DAP atau PKR atau pun Amanah kita tetap akan melawat mereka kerana mereka merupakan ahli kita di Dewan Undangan Negeri suatu ketika.
“Persahabatan, ukhwah kita tetap kekalkan, kita pertahankan, mungkin kita berbeza dari segi pendekatan dan idealisme politik tetapi dari segi matlamatnya sama untuk memperjuangkan halatuju masing-masing dan rakyat yang menjadi hakim untuk menentukan yang mana sesuai dengan jiwa dan naluri mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan Ziarah Kasih dengan bekas ADUN Peramu Jaya, YH. Dato’ Ibrahim Awang Ismail di rumahnya di Pekan, Pahang.
Hadir sama ialah Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen.
Sebelum itu beliau terlebih dahulu menziarah bekas ADUN Beserah (penggal ke-12), Tuan Syed Mohammed Tuan Lonnik di rumahnya di Kampung Seberang Balok dan bekas ADUN Beserah (penggal ke-10), YH. Dato’ Sri Haji Fauzi Abdul Rahman di Indera Mahkota, Kuantan.
Program Ziarah Kasih kali ini memberi fokus kepada bekas-bekas ADUN beragama Islam bertepatan dengan kehadiran bulan Ramadan ketika ini.
Sebelum ini program sama turut mengunjungi bekas ADUN di kalangan kaum Cina ketika sambutan Tahun Baru Cina sebagai meraikan perayaan tersebut.
Menurut Dato’ Sri Mohd Sharkar, pelbagai program turut dirancang bagi memastikan hubungan silaturrahim di kalangan bekas-bekas ADUN dapat diteruskan sebagai tanda penghargaan di atas jasa mereka kepada bumi Pahang. – PAHANGMEDIA

