Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 APRIL 2024 : Penganjuran Program Rakan Ekspresi : Rakan Muda Ramadan anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang dapat memperkukuh nilai kerohanian di kalangan belia di negeri ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha ini dapat direalisasikan menerusi pelbagai pengisian ilmiah berkonsepkan agama sepertu tadarus Al-Quran, ceramah agama, pertandingan azan, pertandingan tulisan khat dan taranum.
Jelasnya, usaha ini sekaligus dapat mendidik pembudayaan Al-Quran di dalam hidup golongan muda pada hari ini.

“Yang penting melalui program ini adalah kita hendak memastikan kitab suci Al-Quran dijadikan budaya dan amalan hidup pelajar-pelajar dan anak-anak muda ini.
“Terutama dalam zaman sekarang di mana media sosial menjadi ancaman utama yang menyajikan macam-macam cabaran jadi pendinding dan bentengnya adalah Al-Quran itu sendiri.
“Sebab itulah tadi melalui program ini kita fahamkan pelajar-pelajar ini tentang kepentingan membudayakan Al-Quran dalam hidup mereka dan Al-Quran dijadikan pegangan dalam hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Perjumpaan YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang bersama Pengurus Dan Jurulatih Pasukan SUKMA Pahang 2024 di Hotel Swissbel, Kuantan.
Beliau sebelum itu berkesempatan hadir pada Majlis Khatam Al-Quran bersempena Program Rakan Ekspresi : Rakan Muda Ramadan yang diadakan di Masjid Al-Mustaghfirin, Batu 3, Kuantan.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Shafik Fauzan Shariff, Pengarah JBS Negeri Pahang, YBrs Encik Mu’azamir Haji Jili, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Abdul Zaki Md Zin, Pengarah Jabatan Penyiaran Pahang, YBRs Encik Arifin Awang, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, YBrs Encik Mohd Izzat Afifi Dato’ Abdul Hamid dan Ketua-Ketua Jabatan.
Program Program Rakan Ekspresi : Rakan Muda Ramadan ini telah disertai 200 pelajar dan belia daripada empat sekolah sekitar Kuantan yang berusia 15 hingga 25 tahun. – PAHANGMEDIA

