Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 03 APRIL 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya rakyat membuat perancangan teliti dalam berbelanja.
Paduka Baginda bertitah supaya mengutamakan keperluan berbanding kehendak dalam berbelanja terutamanya pada keadaan ekonomi masa kini.
“Saya ingin mengingatkan rakyat supaya terus berjimat dalam perbelanjaan khususnya dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Buatlah perancangan secara sederhana dengan mementingkan barangan yang harus dibeli terlebih dahulu. Dan kita juga perlu mengurangkan dan berhenti daripada tabiat merokok kerana ia membawa kepada banyak penyakit kronik,” titah baginda.
Paduka Baginda juga urut bertitah supaya rakyat tidak lupa menunaikan kewajipan untuk membayar zakat fitrah.
“Selain daripada kewajipan untuk berpuasa pada bulan Ramadan ini, suka saya ingin mengingatkan kepada semua untuk tidak lupa membayar zakat fitrah yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam kepada amil-amil zakat yang telah dilantik secara rasmi di seluruh Negeri Pahang.
“Jangan sampai terluput waktu membayar yang ditetapkan sehingga ia tidak diterima sebagai zakat fitrah lagi,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Sungai Miang yang dimasyhurkan kepada Masjid Al-Mustaqim dan Majlis Berbuka Puasa di Kampung Sungai Miang.
Mengiringi keberangkatan Paduka Baginda, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut berangkat ke majlis, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal. -PAHANGMEDIA

