Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 03 APRIL 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengingatkan rakyat supaya meminum air secukupnya selepas berbuka puasa.
Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah demikian disebabkan keadaan cuaca panas akibat fenomena El-Nino pada masa kini.
“Saya ingin mengingatkan penduduk di sini dan rakyat Negeri Pahang, dengan keadaan cuaca yang kita hadapi sekarang iaitu fenomena El-Nino, selepas berbuka puasa perlu banyak minum air kerana ia sedikit sebanyak akan mengurangkan kesan daripada fenomena ini.
“Dan digalakkan kita minum air yang lebih sedikit dari kebiasaan bagj mengelakkan risiko mengalami dehidrasi dan strok haba. Bagi mereka yang mengalami dehidrasi dan strok haba, mereka perlulah segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan,” titah baginda.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Sungai Miang dan Majlis Berbuka Puasa di Kampung Sungai Miang.
Mengiringi keberangkatan Paduka Baginda, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut berangkat ke majlis, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal. -PAHANGMEDIA

