Oleh :Fairus Mohd
Foto :Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 3 APRIL 2024 : Usaha Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Perantau Anak Pahang memberi baucar petrol/diesel sempena program Moh Balik Beraya Ke Pahang memberi semangat kepada anak perantauan untuk pulang ke kampung halaman.
Bagi Encik Mohd Fadhil Zainudin, 32, yang bekerja di Gombak berterima kasih atas sumbangan yang diberikan dan berharap program berkaitan anak Pahang di perantauan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Saya nampak usaha untuk menarik perhatian anak Pahang yang berada di perantauan. Ia sangat bagus dan kami pun gembira dapat pemberian baucar ini,” katanya yang berasal dari Muadzam Shah.
Bagi Cik Nurul Amirah Jamsari, 26, yang sudah dua tahun bekerja di Kuala Lumpur, pemberian baucar ini disyukuri malah gembira kerana dapat berjumpa dengan orang senegeri pada program berkenaan.

“Rasa gembira dan dihargai kerana dapat bantuan untuk balik ke Pahang pada raya tahun ini.
Jimat juga perbelanjaan apatah lagi saya baru sahaja bekerja dan tak berkahwin lagi. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang yang ada inisiatif untuk panggil anak-anak Pahang di sini dan memberi bantuan ini,” katanya yang berasal dari Kampung Seri Makmur, Maran
Guru tadika di Setapak, Pn Noor Asriza Ibrahim Asri, 34, juga menyifatkan usaha yang dilakukan diterima dengan rasa syukur dan berhajat untuk pulang ke kampungnya di Temerloh dan kampung suaminya, Encik Amirnudin Shamsudin, 34, di Temerloh bersama anak mereka, Annur Atifah, 4.

“Program ini bersesuaian dengan tujuan penubuhan Sekretariat Perantau Anak Pahang iaitu menjaga kebajikan dan pembangunan rakyat Pahang yang berada di luar Negeri Pahang.
“Program ini juga memberi peluang kepada kami mengenali rakyat Pahang lain yang turut mencari rezeki di luar negeri Pahang. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang khususnya Menteri Besar Pahang kerana melaksanakan satu usaha untuk menyatukan kami dan keluarga di kampung halaman,” katanya. -PAHANGMEDIA

