Oleh: Fairus Mohd & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
KUANTAN, 3 APRIL 2024 : Rakyat Pahang menzahirkan rasa syukur dapat atasi masalah tekanan kewangan melalui inisiatif Kerajaan Negeri yang menghulurkan bantuan melalui pemberian cek sumbangan.
Penerima, Encik Mohd Hisyam Mohamad Darus, menzahirkan rasa syukur kerana mendapat cek sumbangan sebanyak RM8000 dari Kerajaan Negeri Pahang untuk pembiayaan kos perubatan dan rawatan susulan anaknya, Hadiya Nuha Humairah Mohd Hisyam, berumur enam tahun yang mengalami Sindrom Digeorge.

Menurut Mohd Hisyam ini adalah pembedahan kali kedua kerana pembedahan pertama gagal.
“Kalau ikutkan yang pertama dulu ada pembedahan dah tapi tak mohon bantuan sewaktu itu tetapi apabila yang baru ini keadaan agak mendesak.
“Terima kasih banyaklah kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Menteri Besar Pahang yang telah meringankan beban saya,” katanya ketika ditemubual.
Sementara itu, Tengku Badariah Tengku Mohamed, juga turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberi sumbangan buat anaknya, Kuputri Zulsyaheera Zulkifli, 21, yang akan menyambung pelajaran di UiTM Rembau.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang atas sumbangan pembelian komputer riba dan mesin cetak ini.
“Sekurang-kurangnya ada peruntukan untuk diberi bantuan kepada anak-anak yang sambung belajar,” katanya.
Manakala, Dato’ Hjh Melati binti Ali, selaku wakil Persatuan Ibu Tunggal Negeri Pahang juga turut berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana tidak pernah mengabaikan peruntukan tahunan untuk ibu-ibu tunggal Pahang yang seramai 22 ribu orang ini.

“Peruntukan yang Menteri Besar bagi ini memang peruntukan tahunan.
“Memang Menteri Besar bagi tiap-tiap tahun untuk menjalankan aktiviti aktiviti bersama dengan ibu-ibu tunggal sama ada aktiviti bulan puasa seperti marhaban, bubur lambuk, tadarus Al-Quran dan aktiviti yang menumpukan kepada latihan kemahiran”, katanya.
Seramai 34 orang penerima melibatkan sumbangan sebanyak RM1.07 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk sumbangan yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Bilik Makan Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, hari ini. –PAHANGMEDIA

