Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 3 APRIL 2024 : Sebuah Perodua Myvi dan Motosikal Modenas antara hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan kepada pembayar cukai tanah di Pahang oleh Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Tanah Dan Galian Pahang sempena Karnival Tanah Pahang 2024.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pemilik tanah di Pahang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan menjelaskan cukai tanah selain memeriahkan Karnival Tanah pada tahun ini.
“Hadiah-hadiah yang ditawarkan adalah merupakan sebuah kereta Perodua Myvi 1.5H, 5 buah motosikal Modenas Kriss 110, serta pelbagai lagi hadiah sampingan berupa basikal dewasa dan barangan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Syarat-syarat penyertaan adalah terbuka kepada semua pemilik tanah yang berdaftar dan membayar cukai tanah dengan Pentadbiran Tanah Negeri Pahang.
Penyertaan juga adalah tertakluk kepada pemilik tanah yang telah menjelaskan bayaran cukai tanah dan semua tunggakan cukai tanah termasuklah notis tuntutan tunggakan sewa di bawah Seksyen 97 dan 98, Kanun Tanah Negara (Kecuali pemilik tanah yang dikenakan tindakan notis perampasan di bawah Seksyen 100, Kanun Tanah Negara).
Beliau berkata, bayaran cukai tanah hendaklah dijelaskan sebelum atau pada 31 Mei 2024.
“Tempoh penyertaan bagi cabutan bertuah utama bermula 1 Januari 2024 sehingga 31 Mei 2024. Pemilik tanah yang menjelaskan cukai tanah selepas 31 Mei 2024 adalah tidak layak diambil kira bagi tujuan cabutan bertuah utama,” katanya.
Jelasnya, cabutan hadiah bertuah akan dibuat pada Majlis Penutupan Karnival Tanah Pahang 2024 yang akan diumumkan kelak.
Justeru itu, pemilik tanah perlu mengemaskini nombor telefon yang boleh dihubungi.
Untuk sebarang pengemaskinian, orang ramai boleh berhubung dengan Unit Hasil, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PPTG) Pahang atau mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah yang berdekatan.
Maklumat berkaitan kempen cabutan bertuah ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui laman web Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PPTG) Pahang.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut mengingatkan semua pembayar cukai supaya dapat mengambil peluang menjelaskan cukai tanah bagi melayakkan diri menyertai peraduan ini. – PAHANGMEDIA

