Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 26 MAC 2024 : “Rasa terkejut dan terharu bila Tuanku datang melawat saya di hospital ini,” kongsi Encik Mustafa Kamal Sulaiman, 59, dari Kampung Relong.
Encik Mustafa Kamal, pernah berkhidmat di bawah pemerintahan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 2004.
Menyifatkan dirinya hanya rakyat kebanyakan, kunjungan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang ke Wad Kenanga 6B Hospital Kuala Lipis adalah kejutan yang menggembirakan dirinya.

“Rasa terharu sangat bila kita inj orang kebanyakan sahaja tapi Tuanku sudi datang menziarahi. Tuanku ingat lagi nama panggilan saya ketika berkhidmat iaitu Korporal Mat Derus.
“Tuanku juga ada pesan suruh jaga kesihatan diri baik-baik,” katanya yang mengalami patah tulang dada akibat kemalangan.
Paduka Baginda telah dilantik sebagai Leftenan Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 Mei 1999, sebelum menjadi Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 Jun 2000 seterusnya menjadi Brigadier Jeneral, Komander Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 April 2004.
Paduka Baginda meluangkan masa hampir dua jam mendengar persembahan taklimat dan bercemar duli melawat 42 pesakit kanak-kanak di Wad Melor 5A sebelum meluangkan masa melawat En. Mustafa Kamal.

Turut mengiringi keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Baginda kemudiannya bercemar duli melawat dan beramah mesra bersama rakyat di Bazar Ramadan Kuala Lipis sebelum berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat Daerah Lipis di Masjid Tengku Abdullah, Padang Tengku.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob; barisan Exco Kerajaan Pahang; pemimpin setempat; dan ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

