Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 23 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan merasmikan majlis tadarus dan mahabbah al-Quran daripada suara wanita Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura di Dewan PM Najib, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai), YH. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), YB. Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif.
Majlis tersebut didahului dengan bacaan doa oleh Pegawai Agama Islam Daerah Kuantan, YBrs Ustaz Badaruddin Ahmad Bustami seterusnya diikuti oleh tadarus Al-Quran.

Baginda turut berkenan meluangkan waktu membaca kalam suci itu bersama-sama para peserta dalam majlis tersebut.
Kira- kira 600 orang wanita hadir mengimarahkan majlis tadarus dan mahabbah al-Quran anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura.
Bacaan tadarus al- quran oleh beberapa kumpulan bersama baginda yang bermula jam 9.30 pagi selesai kira-kira jam 10.52 pagi.
Dalam majlis tersebut, Tuanku Baginda berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada 100 penerima daripada golongan asnaf.
Sementara itu, YB. Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif berkata, kesemua peserta yang terlibat dalam program ini amat berbesar hati dengan kehadiran Tuanku Baginda apabila mendapat sambutan daripada ramai peserta. – PAHANGMEDIA

