Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 23 MAC 2024 : Hubungan di antara Kerajaan Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dengan Kerajaan Persekutuan disifatkan sangat baik.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan yang baik ini terserlah menerusi kepimpinan oleh Dato’ Sri Haji Wan Rosdy yang sentiasa mengutamakan projek pembangunan bagi rakyat Pahang dan bukan berteraskan kepentingan peribadi.
“Hubungan Kerajaan Negeri Pahang dengan Kerajaan Persekutuan sangat baik, saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar dan rakan-rakan beliau dan oleh kerana baik, dia terus mendesak, mendesak saya, mentang-mentang dia baik, dan isterinya orang Permatang Pauh, dia ambil kesempatan untuk terus mendesak.
“Bedanya mengapa saya hormat kepada saudara Wan Rosdy ini, dia tidak baik dengan saya untuk minta projek untuk dirinya, dia tidak baik dengan saya untuk minta saham untuk dirinya, dia baik dengan saya untuk minta projek bagi rakyat Negeri Pahang.
“Inilah yang kita hendak ciri-ciri dari kepimpinan dan tengok cara dia, ucapan dia, tidak cerca orang, tidak hukum orang, tetapi menceritakan apa yang boleh dilakukan dibuat untuk kebaikan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Madani di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Dalam Negeri, YB. Senator Dato’ Sri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Ali, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaakob, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.
Dalam lawatan kerja ke Pahang, Dato’ Seri Anwar telah menyembah menghadap Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah di Istana Abdul Aziz, Kuantan.
Jelasnya, kunjungan itu adalah sebagai tanda kasih dan hormat terhadap baginda kerana memberikan kerjasama terbaik kepada kerajaan selama lima tahun baginda memgang tampuk pemerintahan utama negara sebagai Yang Di-Pertuan Agong.
“Di Pahang, saya sampai-sampai terus menghadap KDPB Tuanku Sultan Pahang kerana baginda tatkala menjadi YDP Agong memberikan kerjasama yang baik kepada kerajaan dan oleh itu saya datang untuk menunjukkan kasih, hormat dan terhutang budi kepada jasa dan khidmat baginda selama lima tahun dengan cemerlang sebagai YDP Agong yg lalu,” katanya.
Pada Majlis Berbuka Puasa Madani, Dato’ Seri Anwar turut menyampaikan Al-Quran dan menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan asnaf. – PAHANGMEDIA

