Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 22 MAC 2024 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengutamakan aspek pendidikan di kalangan rakyat di negeri ini bagi memastikan ilmu yang ditimba terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, bersandarkan kepentingan itu juga Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan yang besar bagi tujuan pendidikan termasuk Program Tunas Makmur (Pahang Pride Student).

“Inisiatif ini merupakan komitmen berterusan dalam memberi galakan kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Kerajaan Negeri percaya bahawa pelajaran dapat ubah nasib diri, keluarga, masyarakat dan negeri ini sendiri.
“Kerana itu bantuan disediakan sejak awal usia di mana semua murid tahun 1 menerima bantuan awal persekolahan bagi meringankan beban keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan persekolahan di bawah program Tunas Makmur (Pahang Pride Student) kepada 125 orang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, di sini.

Hadir sama Pengetua SMK Dong, Tuan Rahim Tuan Yusof serta YDP PIBG, Encik Khirul Kahar Abdul Rahman.
Dalam pada itu YB Tuan Fadzli berkata, beliau yakin bahawa inisiatif ini akan diteruskan pada masa akan datang, malah akan ditambah jika pendapatan Kerajaan Negeri Pahang terus kukuh dan berkembang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada pembentangan Belanjawan 2024 telah mengumumkan sebanyak RM7.6 juta diperuntukkan kepada 61,982 orang pelajar kategori miskin tegar. -PAHANGMEDIA

