Oleh: Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
KUANTAN, 21 MAC 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menyokong sepenuhnya usaha Kementerian Kerja Raya dalam melancarkan aplikasi MyJalan, sebuah platform yang membolehkan orang awam melaporkan kerosakan jalan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Tuan Ir Razali Bin Kassim berkata bertemakan ‘Jalan Kita Tanggungjawab Kita’, aplikasi ini merangkumi jalan yang diawasi oleh Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), termasuk jalan Persekutuan, Negeri, dan lebuh raya di bawah LLM.
“Menerusi program ini, ia dapat meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di mana aduan kerosakan jalan yang diterima oleh Kementerian Kerja Raya akan disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Melalui inisiatif ini, masyarakat juga dapat memahami perbezaan antara Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri sekaligus mengurangkan kemarahan terhadap Kerajaan Negeri dalam situasi kerosakan jalan.
Dalam pada itu, beliau juga berharap agar kempen MyJalan dapat diterima dengan baik oleh rakyat, serta mengajak masyarakat untuk memuat turun aplikasi MyJalan ini.
“Saya juga menyeru agar masyarakat pengguna jalan raya dapat memuat turun aplikasi MyJalan ini untuk membuat sebarang aduan serta mendapat pelbagai maklumat daripada pihak Kementerian Kerja Raya,” katanya.
Pahang merupakan negeri dengan jaringan jalan terpanjang di negara ini iaitu 46,952 kilometer termasuk Jalan Negeri sepanjang 43,034 kilometer dan Jalan Persekutuan sepanjang 3,918 kilometer. -PAHANGMEDIA

