Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 20 MAC 2024 : Kerajaan Pahang akan memastikan agar Negeri Pahang diuruskan dengan sebaik mungkin di samping menjaga kebajikan rakyat supaya mendapat hak dan pembelaan yang sewajarnya sebagai sebuah kerajaan yang adil serta prihatin.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, justeru rakyat seharusnya memanfaatkan setiap bantuan dan sumbangan yang diperuntukkan kepada mereka dengan sebaiknya.
“Saya berharap dengan adanya sedikit peruntukan yang diberikan ini dapat memberi manfaat kepada penerima dan gunakanlah sebaik mungkin.
“Kita sebagai kerajaan yang pertama sekali negeri ini perlu diuruskan dengan baik, sebab menjadi kerajaan, yang saya tahulah, tugas dan tanggungjawab kerajaan ialah memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri kepada 50 penerima dengan jumlah keseluruhan RM1.27 juta di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Hadir sama ialah Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man.
Dalam ucapannya, beliau turut meminta agar semua rakyat khususnya penduduk Pahang dapat sama-sama mendokan kesejahteraan Negeri Pahang dan menyokong Kerajaan Perpaduan. – PAHANGMEDIA

