Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 MAC 2024 : “Terima kasih kerana tidak pernah lupa pada kami,” itu kongsi Puan Wan Shahriza, penerima sumbangan Ihya’ Ramadan Yayasan Pahang.
Puan Wan Shahriza Wan Ab. Rahman, 55, daripada Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser Pahang (PESONA) turut melahirkan penghargaan di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang.
“Alhamdulillah tahun ini sekali lagi kita mendapat sumbangan daripada Yayasan Pahang berjumlah RM3,000 dan seingat saya setiap tahun dapat (sumbangan).

“Bagi pihak Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser Pahang, iaitu anak-anak yang menghidap kanser pelbagai jenis kanser, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yayasan Pahang dan juga Kerajaan Negeri Pahang kerana tak pernah lupa pada kami. Selalu ada sahaja sumbangan untuk membantu anak-anak ini.
“Kita persatuan sokongan ini, kita banyak bantu anak-anak kanser terutamanya untuk rawatan misalnya untuk ke hospital, jadi ini akan masuk ke dalam dana kebajikan kita untuk membantu anak-anak ini supaya mereka tidak tercicir dari menerima rawatan di hospital,” katanya.
Sementara itu, menurut Encik Ahmad Norshamsuri Junid, 50, dari Persatuan Insaf Pahang melahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas sumbangan yang diberikan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang yang sudi memberikan sumbangan kepada persatuan dan diharap ia akan dapat memajukan lagi persatuan kami.
“Sumbangan ini kita bercadang nak guna untuk buat jamuan hari raya untuk ahli persatuan kami. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih dengan sumbagan ini,” katanya.
Sebanyak hampir 200 penerima diraikan dalam Majlis Penyampaian Ihya’ Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB. Menteri Besar Pahang termasuk 10 badan bukan kerajaan (NGO) semalam. -PAHANGMEDIA

