Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 18 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah meminta Kerajaan Negeri memantau operasi maahad tahfiz, pondok-pondok, madrasah yang dibangunkan secara persendirian.
Baginda bertitah pemantauan yang dimaksudkan adalah dari aspek tenaga pengajar, keselamatan mahupun silibus pengajaran mereka.
“Ini bagi mengelakkan penyebaran fahaman dan aliran yang songsang atau bertentangan dengan Islam yang sebenar serta yang berbentuk politik.
“Selain itu silibus pembelajaran di institusi berkenaan termasuk sekolah beraliran agama perlu juga didedahkan dengan silibus pengajian moden selain agama seperti teknikal dan vokasional (TVET) serta pembelajaran teknologi moden ketika ini seperti Artificial Intelligence (AI) yang boleh diserasikan dengan Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli merasmikan Masjid As-Salam Kampung Kelibang serta majlis berbuka puasa di sini, hari ini.
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandari Al-Haj serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama paduka-paduka anakanda, barisan Exco Kerajaan Negeri serta kepimpinan di peringkat negeri dan daerah.
Dalam pada itu, baginda menegaskan bahawa Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah mesti diamalkan oleh semua umat Islam di negara ini selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam yang bersidang pada 5 Mei 1996 dan juga menjadi pegangan akidah umat Islam di negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

