Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 15 MAC 2024 : Seorang ibu tunggal, Puan Zaleha Abdullah, 56, gembira dan terharu apabila dapat meraikan kemeriahan Syawal di Rumah RU’RASA yang diterimanya daripada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Jelasnya, selepas kematian suami, Saparudin Mat Yusop, sejak 2016, dia bersama anaknya, Mohamad haikal Hakimi Mohamad Saparudin, hanya menumpang di rumah ibunya di Kampung Jeram Landak, Lipis.
“Sebelum kembali ke Lipis, saya bersama keluarga tinggal di Kuala Selangor namun selepas suami meninggal pada 2016, saya pulang ke Lipis dan menumpang di rumah ibu.
“Saya sangat bersyukur dan gembira menerima Rumah RU’RASA ini terutama sekali di bulan Ramadan kerana tidak lama lagi dapat meraikan Hari Raya di rumah baru ini,” katanya.

Puan Zaleha bersama 14 penerima lain telah menerima kunci rumah masing-masing yang telah dikurniakan sendiri oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah di halaman rumahnya di Kampung Jeram Landak, Mukim Cheka 2 di Lipis.
Turut mengiringi baginda ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin dan YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Hadir sama ialah YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang, wakil kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), YBhg Aamer Al Teneji dan Ketua-Ketua Jabatan.
Puan Zaleha turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Tuanku Sultan di atas kerpihatinan baginda mengurniakan Rumah RU’RASA yang selesa kepada dia bersama anaknya.
“Terima kasih banyak-banyak kepada Tuanku kerana memberikan rumah ini dengan serba lengkap, mudah-mudahan Tuanku dirahmati, Alhamdulillah dapat beraya di rumah baru,” katanya. – PAHANGMEDIA

