Oleh : Fairus Mohd dan Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 1 MAC 2024 : Persiapan akhir Jelajah Mahkota Mudik Sungai Pahang yang diketuai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menelusuri Sungai Pahang sejauh hampir 400 kilometer dari daerah Pekan ke Lipis berjalan dengan lancar.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, semua peringkat persiapan untuk ekspedisi ini berjalan dengan baik walaupun masih ada beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan lanjut.
“Pihak penganjur (MSP) sedang berhubung dengan pihak setiap daerah dan pejabat daerah, khususnya dari enam daerah yang terlibat bagi memastikan segala persediaan berjalan dengan baik. Ini kerana Jelajah Mahkota Mudik Sungai Pahang ini julung-julung kali diadakan dan kali ini disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas temubual eksklusif di Radio RTM, PAHANGfm berhubung penganjuran dan perjalanan ekspedisi selama empat hari itu,.
Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang ini akan berlangsung selama empat hari bermula dari Majlis Perasmian yang bertempat di Pekan Riverfront pada 3 Mac dan penamatnya di Tanjung Gahai, Lipis pada 6 Mac.
Dalam pada itu YB Tuan Fadzli berkata, ekspedisi ini juga akan melibatkan pengisian pelbagai acara dan aktiviti menarik yang telah dirancang di setiap checkpoint dan daerah yang dilawati termasuk di Maran, Bera, Temerloh, Jerantut, dan majlis penutupannya di Tanjung Gahai, Lipis.
“Terdapat pelbagai aktiviti seperti sukan air, sukan rakyat, program kebudayaan, seni mempertahankan diri, serta pelbagai lagi yang boleh dinikmati oleh semua peserta dan penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu beliau menjemput rakyat Pahang untuk mengambil kesempatan sempena cuti persekolahan untuk menyertai acara yang ada sepanjang ekspedisi ini bersama ahli keluarga sekaligus berpeluang untuk beramah mesra bersama Kebawah Duli Yang Teramat Muplia Tengku Mahkota Pahang.
“Rakyat setempat boleh mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan di setiap checkpoint dan daerah yang dilawati oleh baginda.
“Tetdapat juga peluang untuk berkhemah bersama baginda di Maran, khususnya di Tapak Rumah Warisan Chenor pada 3 Mac dan di Kampung Gintong, Jerantut pada 5 Mac. -PAHANGMEDIA

