Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 2 MAC 2024 : Peserta RXZ Fighter menyantuni pengisian islamiah program berkenaan menerusi Subuh Warrior Subuh Macam Jumaat (SMJ) yang diadakan di dua masjid iaitu Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan Masjid Kampung Padang di Kuantan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, meskipun para peserta bersemangat untuk berhimpun pada program RXZ Fighter namun tanggungjawab kepada agama tidak diabaikan.
“Walaupun kita dalam suasana gembira, semangat untuk menjayakan himpunan RXZ Fighter ini jangan sekali-kali kita lupa amanah dan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

“Dan hari ini kita disambut meriah oleh jawatankuasa Masjid Negeri yang menyediakan makanan yang enak-enak, kambing pun ada pagi ini, meraikan peminat RXZ yang hadir dari seluruh negara di Kuantan sempena event RXZ Fighter ini.
“Apa pun kita mesti hormat kepada orang tua, hormat kepada pengguna jalan raya yang lain, dan jangan lupa tanggungjawab dan amanah sebenar kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Subuh Fighter di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, pagi tadi.
Turut hadir ialah Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, YBrs Tuan Haji Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah.

Solat Subuh telah diimamkan oleh Imam 1 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Al-Fadhil Ustaz Muhammad Izzan Idris Al-Hafiz.
Subuh Fighter dimeriahkan lagi dengan Kuliah Subuh yang telah disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Badli Shah Alauddin.
Di sekitar perkarangan Masjid Negeri dipenuhi Motosikal RXZ dan pelbagai jenis motosikal lain yang dilihat menyambut baik Program Santunan Subuh Macam Jumaat (SMJ).
Selepas Subuh Fighter, peserta RXZ Fighter akan berhimpun di Serambi Teruntum bagi mengikuti pelbagai acara dan pengisian yang telah diatur pihak penganjur.
Antarananya adalah Pertandingan Airbrush, Pertandingan Dyno Fighter, Sesi Taklimat Keselamatan, Konvoi VVIP ke Serambi Teruntum diikuti acara kemuncak Majlis Perasmian RXZ Fighter dan cabutan bertuah.
Program selama dua hari ini dijangka menerima penyertaan daripada 50,000 peserta dari seluruh negara. – PAHANGMEDIA

