Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 1 MAC 2024 : RXZ Fighter yang merupakan acara julung kali diadakan di Kuantan optimis menghimpunkan 50,000 peminat permotoran pada kemuncak acara petang esok.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, sambutan meriah yang diterima pada hari pertama penganjuran memberikan gambaran baik pada acara kemuncak esok yang akan berlangsung di Serambi Teruntum, di Kuantan.
“Saya hendak mengajak semua untuk datang, ramai yang membawa keluarga hadir di sini, hari ini dan esok ada lagi sepanjang hari, rebutlah peluang sempena cuti sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan ‘walkabout’ ke 35 gerai jualan pameran, cenderahati dan pelbagai barangan permotoran.
Selain 35 gerai jualan itu, terdapat 45 gerai makanan dan aneka barangan turut dibuka untuk para pengunjung khususnya peminat permotoran dari seluruh Malaysia.
Pada esok, RXZ Fighter akan bermula dengan Subuh Warrior di dua masjid iaitu Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan Masjid Kampung Padang.
Diikuti acara kemuncak pada jam 4 petang bagi acara penutup himpunan semua peminat RXZ dan sukan permotoran yang lain selain cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik bernilai RM300,000.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan simpati di atas kejadian kemalangan yang berlaku melibatkan peminat permotoran yang berada dalam perjalanan ke program berkenaan.
Justeru, beliau mengingatkan semua penunggang yang menuju ke program RXZ Fighter agar dapat mempertingtkatkan tahap keselamatan dan memastikan rehat yang cukup.
“Saya hendak menasihati kepada yang sedang dalam perjalanan atau memulakan perjalanan sama ada malam ini atau pun pagi esok agar berhati-hati di jalan raya, hormat peraturan lalulintas, hormat pengguna jalan raya yang lain, akur arahan pihak berkuasa dan yang paling penting kalau rasa penat, berhenti dahulu, singgah dahulu di mana-mana, segarkan diri, rehat dan baru bergerak ke sini, sebab tidak ada apa hendak dikejar, keselamatan diri lebih utama,” katanya.
Beliau turut meminta agar pihak berkuasa dapat memudahcara sebarang urusan keselamatan bagi memastikan perjalanan himpunan RXZ Fighter dapat berjalan lancar. – PAHANGMEDIA

