Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 FEBRUARI 2024 : Kemampuan dan kebolehan syarikat-syarikat di Pahang menggabungkan teknologi terkini dalam meningkatkan produktiviti dapat menarik minat lebih ramai pelabur untuk melabur di Negeri Pahang.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Alam Sekitar Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, teknologi ini akan dapat memberi kelebihan yang mampu menggalak penglibatan pelabur dalam pembangunan pelbagai sektor di negeri ini.
“Pelabur yang melabur di sini (Pahang) perlu mencari pembekal di kalangan syarikat tempatan dan sekiranya syarikat tempatan dapat membuktikan mereka dapat mengadaptasi atau menggunakan teknologi dengan cekap dan mahir ini akan menambah keyakinan pelabur bahawasanya di Pahang ini mempunyai rantaian pembekal atau ‘supply chain’ yang cekap, produktif dan efisen.
“Ini menambah keyakinan pelabur dan saya dapat memberikan keyakinan kepada pelabur untuk menarik mereka melabur di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Meningkatkan Produktiviti Syarikat Melalui Pengukuran Produktiviti dan Adaptasi Teknologi di Bilik Seminar Kolej PSDC, Semambu di Kuantan.
Seminar tersebut telah disertai 70 peserta daripada pelbagai syarikat di seluruh Pahang.
Dalam pada itu, jelasnya, penerapan teknologi di dalam meningkatkan produktiviti syarikat di kalangan anak tempatan adalah bertepatan dengan situasi semasa.
“Mereka tidak bole berpuas hati dengan keadaan sedia ada atau pun status quo, mereka perlu sentiasa berusaha untuk tingkatkan produktiviti, kecekapan dan kemahiran mereka.
“Sekiranya mereka berjaya berbuat demikian, saya yakin ia akan memberi kesan kepada pendapatan syarikat dan menjimatkan kos, maka keuntungan atau profit akan bertambah dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif sebegini,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi di dalam syarikat tempatan juga dapat menarik lebih ramai anak muda yang mahir teknologi untuk berkhidmat di syarikat tempatan. – PAHANGMEDIA