Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 09 FEBRUARI 2024 : Kerajaan Negeri mengetatkan prosedur pembalakan di Pahang sebagai antara langkah meminimumkan masalah berlakunya banjir di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata selain itu beberapa persiapan lain juga dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mengelakkan bencana akibat banjir di negeri ini.
“Kita harus bersyukur banjir di negeri kita alhamdulillah agak terkawal kalau kita bandingkan dengan negeri lain yang mengalami banjir iaitu di Kelantan, Terengganu, dan Johor.

“Dan di Pahang alhamdulillah kita buat banyak persiapan antaranya kita buat helipad, kita mendalamkan sungai, kita membuat macam-macam persediaan dan mungkin ekoran daripada itu masalah banjir di Pahang ini dapat diminimakan.
“Disamping itu juga kita mengetatkan prosedur pembalakan berbanding sebelum ini. Sebagai contoh kalau kawasan itu dibenarkan untuk di balak, kita akan kenalpasti dahulu kawasan hutan simpan dan diwartakan dahulu baru boleh dilesenkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampian Bantuan Wang Ihsan Banjir oleh YAB Menteri Besar Pahang di Dewan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Negeri Jelai, Sungai Koyan.

Turut hadir, ADUN Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long dan Pegawai Daerah Lipis, YB. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Beliau berkata prosedur pembalakan ini telah bermula hampir dua tahun dan memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Negeri terlebih dahulu.
“Kalau sekiranya ada kelulusan pembalakan di hutan simpan, kalau diluluskan oleh Kerajaan Negeri, katalah 10 ekar hutan simpan, kita tulis itu hendaklah diganti, tetapi sekarang ini bukan sahaja diganti, ia hendaklah diwartakan terlebih dahulu sebelum dilesenkan. Dan dah mula setahun lebih,” katanya.
YAB. Menteri Besar telah menyampaikan wang ihsan bernilai RM23,000 kepada 23 penerima di DN Jelai serta bantuan makanan asas bernilai RM2,500 bagi sebuah keluarga yang melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Kuala Medang, Kampung Serau, Kampung Bukit Kota, dan Kampung Retang. -PAHANGMEDIA

