Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 FEBRUARI 2024 : Pahang menerima sejumlah RM35.079 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diagihkan secara berperingkat kepada 739 buah sekolah melibatkan 23,3860 orang pelajar di negeri ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, setiap pelajar akan menerima bantuan bernilai RM150 tanpa sebarang potongan.
“Saya ingin merakam penghargaan kepada Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pendidikan Malaysia di atas keprihatinan dan daya usaha untuk melihat anak-anak kita dibantu dari segi pendidikan tanpa mengira kedudukan.

“Ini membuktikan kesungguhan agenda memperkasakan pendidikan yang turut dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara jelas dan sentiasa diletakkan sebagai keutamaan,” katanya ketika Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2024 di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia – Sektor Operasi Sekolah, Tuan Haji Azman Haji Adnan, Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Kebajikan dan Kesihatan Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Puan Hajah Noryate Muda serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Encik Amzan Abdul Malik.
Dalam pada itu beliau berharap agar bantuan yang diberikan dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan persiapan persekolahan anak masing-masing.
“Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan persekolahan sebanyak RM100 bagi tujuan sama dan ia diteruskan saban tahun sebagai satu inisiatif mendokong agenda pendidikan berterusan di negeri ini.
“Kerajaan Pahang akan terus memberi tumpuan termasuk penyediaan insentif kecemerlangan kepada pelajar-pelajar tingkatan lima dan enam sebagai dorongan untuk mereka meraih keputusan akademik yang cemerlang,” katanya. – PAHANGMEDIA

