Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 FEBRUARI 2024 : Seorang penerima cek bantuan Kerajaan Pahang, Encik Muhammad Zulkhairy Mohd Nor terharu dan bersyukur apabila kerajaan menghulurkan bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan perubatan anaknya, Puteri Ilya Zuhaira Muhammad Zullhairy, 6 bulan.
Puteri bongsu daripada dua beradik untuk disahkan menghidap hydrocephalus ketika berusia lima bulan dalam kandungan dan telah menjalani dua pembedahan seawal usia tujuh hari dan empat bulan bagi menyalurkan cecair daripada otak ke ususnya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

“Keadaan dia (anak) Alhamdulillah, okay tetapi doktor memaklumkan bahawa sistem tumbesaran anak saya tiada tetapi kita redhalah apa yang jadi, jadi anak saya mungkin OKU lah,” katanya.
Beliau ditemui selepas menerima cek sumbangan berkenaan yang disampaikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal pada Acara Sukan Ekstrem Karnival Rakyat Pahang di perkarangan Kompleks MBK, petang tadi.
Beliau yang merupakan kakitangan di Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) turut menerima cek sumbangan bagi mengadakan Program Komuniti dan Belia Monsoon Camp 5.0 TC Uptown Teluk Cempedak selaku Penyelaras program berkenaan.
Jelasnya, sumbangan oleh Kerajaan Pahang ini membuktikan keprihatinan terhadap nasib rakyat yang memerlukan selain menggalakkan pembangunan modal insan di kalangan belia. – PAHANGMEDIA

