Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 FEBRUARI 2024 : Lebih 200,000 orang ramai khususnya rakyat Pahang hadir memeriahkan Karnival Rakyat Pahang yang dianjurkan bersempena memuliakan Keberangkatan Balik KDYMM Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama KDYMM Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Karnival Rakyat Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, pelbagai acara telah diatur sepanjang tiga hari Karnival Rakyat Pahang berlangsung bermula Jumaat hingga Ahad lepas.
Menurutnya, setiap program dan acara yang dirancang dipastikan dapat memenuhi keperluan setiap peringkat umur tanpa mengira batas perkauman.

“Saya mendapat maklum balas yang cukup positif daripada orang ramai yang mencadangkan agar Karnival Rakyat Pahang ini dijadikan acara tahunan dan itu akan diperhalusi lagi oleh pihak kerajaan.
“Dan yang lebih penting ramai anak muda yang terlibat dalam karnival selama tiga hari ini dan kita akan menilai dan membuat post motem untuk menilai acara-acara yang diadakan sepanjang karnival ini untuk penambahbaikan kalau kita hendak laksanakan lagi untuk masa akan datang.
“Saya berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti untuk anak-anak muda dalam Karnival Rakyat Pahang ini,” katanya ketika hadir selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi Sukan Ekstrem Skateboard dan BMX di pekarangan Kompleks MBK, petang tadi.
Sebelum itu, YB. Tuan Fadzli berkesempatan menyaksikan Culture And Art Performance serta pameran motosikal dan basikal antik di Dataran Sayangi Kuantan.

Beliau turut muncul di konti bergerak Pahangfm bagi sebelum menutup tirai Karnival Rakyat Pahang bersempena memuliakan Keberangkatan Balik KDYMM Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama KDYMM Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
YB Tuan Fadzli juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan sambutan berkenaan termasuklah semua pengunjung yang berkesempatan memeriahkan karnival tersebut.
“Saya sejujurnya sangat berpuas hati dengan sambutan yang begitu menggalakkan dan kerjasama yang cukup baik daripada 11 daerah di Negeri Pahang ini dan juga agensi-agensi yang terlibat, kerjasama yang cukup baik daripada mula sampai akhir,” katanya. – PAHANGMEDIA

