Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 JANUARI 2024 : Keberangkatan balik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dapat memacu Negeri Pahang lebih maju, aman, makmur dan sejahtera.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam sembah ucapan berkata pelbagai kejayaan telah dicapai Negeri Pahang dalam tempoh lima tahun di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Patik juga ingin menyembah maklum, sepanjang tempoh lima tahun ini juga, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku telah diperintah serta diuruskan dengan begitu baik oleh Paduka Anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
“Pelbagai kejayaan demi kejayaan telah dicapai sehingga mengangkat Negeri Pahang Darul Makmur antara negeri terbaik di negara ini. Patik juga yakin, selepas kepulangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, serta atas segala pengalaman, pengetahuan dan kebijaksanaan yang ada pada diri Tuanku, Negeri Pahang Darul Makmur akan terus dapat dipacu dengan lebih maju, aman, makmur dan sejahtera.
“Malah, Patik juga yakin perpaduan kaum di negeri ini akan menjadi lebih erat, harmoni dan kukuh dengan rakyat jelata hidup dalam penuh tolerasi, saling hormat menghormati dan bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada Majlis Santapan Istiadat Keberangkatan Balik Sempena Tamat Tempoh PemerintahanKebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
YAB. Menteri Besar dalam sembah ucapan beliau berkata rakyat di Negeri Pahang sentiada merindui dan menantikan kepulagan Seri Paduka Baginda berdua ke negeri ini setelah lima tahun bersemayam di Istana Negara.
“Patik dan seluruh rakyat jelata Negeri Pahang Darul Makmur sudah lima tahun merindui dan sentiasa menantikan kepulangan Baginda Tuanku berdua, umpama menanggung kasih yang tidak terperi, dan bagai pungguk merindukan bulan.
“Setinggi mana pun hamba rakyat di seluruh negara menyayangi Tuanku, tetapi rakyat Tuanku di Negeri Pahang Darul Makmur lebih lagi menyayangi dan merindui Tuanku.
“Biarlah patik-patik sekalian pula yang menumpang kasih dan sayang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berdua, ibarat sinar mentari menyapa bunga di pagi hari,” katanya.
Beliau berkata kewibawaan yang ditunjukkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku telah mengangkat Institusi Diraja ke satu tahap yang mulia, disanjungi rakyat jelata serta dihormati oleh negara-negara dI seluruh dunia.
“Sepanjang tempoh itu juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, telah melaksanakan pemerintahan dengan penuh adil dan saksama, sehingga negara terus berada dalam keadaan aman dan tenteram, biarpun pelbagai ribut dan badai melanda negara ketika itu.
“Penularan Covid-19 dan kemelut politik yang tidak berkesudahan, merupakan antara cabaran-cabaran besar yang terpaksa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku hadapi dengan penuh ketabahan serta kesabaran.
“Malah, rakyat jelata sendiri menjadi saksi bagaimana kebijaksanaan Baginda Tuanku dengan penuh tenang dan diplomasi berjaya menangani situasi-situasi ini daripada terus berlarutan,” katanya.
Mengiringi keberangkatan balik Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. – PAHANGMEDIA

