Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 JANUARI 2024 : “Saya tak pernah tinggal Negeri Pahang. Nadi saya di sini, jiwa saya sentiasa berada di sini, cuma badan sahaja di sana,” zahir Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan perasaan terharu dan bersyukur dengan sambutan yang ditunjukkan rakyat Pahang kepada baginda berdua.
“Bila tiba di Kuantan, saya terharu dengan sambutan dan saya nak berterima kasih kepada semua yang hadir dalam suasana begitu panas dan mereka masih lagi menunggu dan rakyat berkumpul daripada pagar Pangakalan Udara (TUDM) sampailah ke sini (Dewan Jubli).
“Saya rasa bersyukur dan alhamdulillah kerana rakyat Negeri Pahang masih lagi rindu pada saya dan saya juga tetap rindu pada rakyat Pahang,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan rasa bangga kerana dapat melunaskan tanggungjawab dan amanah yang diserahkan kepada baginda.

“Setelah saya ambil flight ke Kuantan, saya sampai di TUDM dengan perasaan yang cukup-cukup terharu. Dan ada juga (perasaan) yang macam tak percaya. Ini pun pakai baju ini (muskat) buat kali terakhir, dan saya rasa bangga.
“Saya harap juga seperti mana yang dinyatakan YAB Menteri Besar Pahang, saya harap rakyat Pahang rasa bangga kerana saya telah melunaskan tanggungjawab saya, amanah saya, yang terbaik untuk negara kita dan rakyat kita.
“Mungkin ada sebilangan kecil yang tidak bersetuju dengan pelbagai keputusan yang saya buat namun majoritinya bersama dengan keputusan yang saya buat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Istiadat Keberangkatan Balik Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Turut mengiringi baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda berdua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, YB. Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.
Seri Paduka Baginda dalam titah menzahirkan rasa terharu dengan sambutan yang baginda berdua terima daripada pemimpin dan rakyat jelata.
“Selepas saya, Permaisuri dan anakanda-anakanda saya bertolak daripada Istana Negara, sambutan keberangkatan pulang bagi saya adalah satu hari yang cukup memorable (diingati).
“Daripada Istana Negara sehingga ke Parlimen dan KLIA. Terima kasih kepada mereka yang menunggu dan memberi lambaian kepada kami berdua,” titah baginda.
Baginda turut menyifatkan sambutan keberangkatan balik baginda berdua ke Negeri Pahang cukup meriah dan mengimbau kembali ketika sambutan perkahwinan baginda berdua pada 1986.
“Ketika saya dan Permaisuri berada dalam kereta, tengok ramai sangat orang menunggu, dia (Permaisuri) flashback balik kepada saya, dia kata macam kita kahwin dulu, tahun 1986. Alhamdulillah dan saya pun rasa macam pengantin juga hari ini. Pengantin tua,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

