Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 27 JANUARI 2024 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyeru semua pihak agar mengambil iktibar di atas kejadian tanah runtuh yang berlaku di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands pada Jumaat lalu.
Menurutnya, tragedi berkenaan dikenalpasti berlaku di kawasan kebun yang diteroka secara haram.
“Kerajaan Negeri Pahang telah melaksanakan penguatkuasaan yang sewajarnya namun kejadian itu berlaku di kawasan terpencil.
“Mereka (mangsa) meneroka tanah secara haram, kita sudah kuatkuasa tetapi mereka tetap teroka tanah di situ. Kegiatan mereka ini (teroka tanah) ini diluar pengetahuan kita, jadi macam mana kita hendak ambil tindakan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Moh Karnival Makmur 2024 peringkat daerah Lipis di Dataran Orang Kaya Haji, hari ini.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut mengingatkan penduduk agar tidak meneroka tanah kerajaan dengan sesuka hati bagi mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Saya menyeru rakyat mengambil ikhtibar daripada kejadian ini. Jangan teroka tanah secara haram kerana ia merupakan satu kesalahan serius malah kesannya di luar jangkaan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.51 pagi Jumaat lalu, lima mangsa warga Myanmar tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu.
Kelima-lima mereka yang dikenalpasti ialah Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey, 36, dan Thang Moung, 25 tahun.
Difahamkan sehingga kini hanya dua mangsa ditemui di sebalik runtuhan dan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa lain masih diteruskan. -PAHANGMEDIA

