Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 17 JANUARI 2024 : Kerajaan Pahang akan memperhalusi cadangan bagi melaksanakan subsidi bantuan air kepada golongan B40 di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan ini diusulkan ekoran pelarasan tarif air yang diumumkan hari ini.
“Insya-Allah kita akan melihat pelarasan tarif ini di mana kemungkinan kita akan memberi sedikit subsidi atau bantuan kepada golongan B40 yang terlibat, sekarang perkara ini masih dikaji dan diperhalusi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara E&P O&M Services Sdn Bhd (EPOMS) Pahang Skills Development Centre (Pahang Skills) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Hyatt Regency Kuantan di sini hari ini.
Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Sebelum ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan berkuatkuasa pada 1 Februari depan.
Menurut SPAN, tarif air akan dikaji semula pada setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran. – PAHANGMEDIA

