Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 17 JANUARI 2024 : Kerjasama strategik di antara E&P O&M Services Sdn Bhd (EPOMS), Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang Skills) dengan Pusat Pendidikan Lanjutan dan Profesional, Universiti Teknologi Petronas (CAPE) dapat memberi banyak manfaat kepada Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak yang berminat untuk melabur di negeri ini.
“Boleh memberi banyak manfaat kepada Negeri Pahang yang akan dibuat bersama-sama dengan mana-mana syarikat yang berminat untuk melabur di Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang akan memberi kerjasama yang sangat baik, kita akan bantu mereka sekiranya ada apa-apa keperluan dan mereka boleh datang tampil ke hadapan untuk membantu Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara E&P O&M Services Sdn Bhd (EPOMS) Pahang Skills Development Centre (Pahang Skills) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Hyatt Regency Kuantan di sini hari ini.
Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Turut hadir Pengerusi EPOMS, Yang Mulia Raja Dato’ Sri Mufik Affandi Raja Khalid, Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas, YBhg Profesor Dato’ Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Pengerusi Pahang Skills Development Centre (PSDC), YH Dato’ Haji Mas’ut Awang Samah.
Majlis menandatangani MoU itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas, YBhg Profesor Dato’ Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, Pengarah Eksekutif Pahang Skills, YBhg Encik Mohd Yusri Mohd Nor dan Pengarah EPOMS, YH Dato’ Mohd Pathil Ahmad.
Kerjasama EPOMS-UTP ini antara lain bertujuan meningkatkan pertumbuhan dan kepakaran tanpa tandingan dalam industri minyak dan gas.
Menerusi kerjasama ini juga akan dapat melaksanakan pembangunan modul latihan selaras dengan industri, memberikan pengalaman pembelajaran secara menyeluruh dan pembangunan kemahiran serta dapat memanfaatkan keupayaan CAPE untuk tenaga boleh diperbaharui. – PAHANGMEDIA

