Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
PEKAN, 16 JANUARI 2024 : Seramai 256 penerima daripada tiga kluster iaitu penjaja, pemandu teksi dan ‘food rider’ telah menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang diadakan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan, pagi tadi.
BPP tersebut telah disampaikan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Beberapa penerima ditemui berasa terharu dan gembira kerana bantuan yang diterima dapat membantu mengurangkan beban dan dapat memenuhi keperluan harian.
Bagi seorang pemandu teksi, Encik Mansor Mat Rifin, 68, pendapatan kebanyakan pemandu teksi sememangnya terjejas teruk berbanding 23 tahun lalu ketika beliau memulakan kerjaya sebagai pemandu teksi.

Jelasnya, perubahan semasa dan kemampuan yang dimiliki orang ramai untuk memiliki kenderaan menjadikan teksi semakin terpinggir.
Justeru, BPP yang diterima amat bermakna terutama apabila Kerajaan Pahang melihat pemandu teksi sebagai kluster yang turut tersenarai untuk menerima bantuan.
“Saya bagi pihak Persatuan Teksi Daerah Pekan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana beri bantuan kepada kami pemandu-pemandu teksi di Daerah Pekan, terima kasih,” katanya.
Bagi ‘food rider’, Encik Anwar Ridhwan Ab Razak, 29, pula, BPP yang diterima ini merupakan rezeki apabila namanya tersenarai sebagai penerima sumbangan di bawah kluster tersebut.

Encik Anwar Ridhwan yang berpengalaman sebagai ‘rider’ selama hampir 7 tahun sangat terharu dan gembira menerima BPP.
“Saya syukur kerana dengan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat neringankan sikit perbelanjaan saya sebab sekarang tempahab pun tidak seperti dulu lagi, jadi dengan bantuan ini dapatlah menampung sedikit perbelanjaan saya,” katanya.
Bagi seorang penjaja dari Chini, Puan Rokiah Muhammad, 53, pemberian BPP ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Pahang terhadap golongan penjaja yang berpendapatan kecil.

Sumbangan yang diterima dapat digunakan bagi membeli keperluan harian untuk kegunaan keluarga.
Dia turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang beri bantuan kepada peniaga-peniaga macam kita semua, duit ini akan saya manfaatkan untuk perbelanjaan harian,” katanya. – PAHANGMEDIA

