Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 16 JANUARI 2024 : Pihak Kerajaan Negeri kini menanti laporan lengkap berkenaan tanah mendap yang berlaku kuarters Sekolah Bandar 2 Paloh Hinai, dekat Pekan yang berlaku 7 Januari lalu.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, laporan berkaitan dijangka diperoleh dalam terdekat.
Menurutnya, wakil dari Bahagian Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang sudah melakukan lawatan tapak ke kuarters itu pada 9 Januari lalu bagi melakukan pemeriksaan.
“Laporan akan dikemukakan dalam masa terdekat… ia merangkumi kaedah pembaikan dan anggaran kos diperlukan. Ia (anggaran kos) akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri.
“Jadi, kita jangka tempoh pelaksanaan kerja di situ akan siap dalam masa tiga hingga enam bulan,” katanya dalam satu sidang media khas yang diadakan hari ini.

Dalam kejadian 7 Januari lalu, bangunan kuarters empat tingkat sekolah terbabit diarah dikosongkan susulan kejadian tanah mendap berhampiran kuarters itu.
Seramai lapan keluarga membabitkan 24 penghuni dipindahkan sementara di asrama sekolah berkenaan.
Mengulas lanjut berkenaan kerja-kerja semasa, YB Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin berkata, pihak JKR Pahang sudah melebarkan longkang di sekitar kuarters terbabit dan melencongkan aliran air dari kawasan tanah mendap ke sistem saliran sedia ada.
Katanya, tindakan tersebut merupakan angkah penyelesaian jangka pendek sementara kerja baik pulih kesan mendapan boleh dilakukan.
“Semua penghuni kuarters itu ditempatkan dalam kawasan sekolah iaitu di asrama sekolah berkenaan.
“Memang ambil masa sikit sebab kita nak pastikan kerja baik pulih dan penyelidikan berkaitan punca kejadian tanah mendap dapat diketahui dengan jelas. Kalau dibuat secara tergesa-gesa, kita bimbang kita akan baik pulih benda yang tak sepatutnya,” katanya. -PAHANGMEDIA

