Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 16 JANUARI 2024 : Pemberian Bantuan Prihatin Pahang Kluster Penjaja Harian, Pemandu Teksi, dan Food Rider disifatkan sebagai satu rahmat yang memang diperlukan oleh para penerima.
Menurut Puan Norsafiny Mat Tahir, 42, dari Kampung Padang Feri yang merupakan peniaga makanan tradisional berkata bantuan ini tepat ketika keadaan ekonomi yang merosot kini.

“Hari ini saya dapat bantuan untuk penjaja. Terima kasih YB. Fadzli dan Kerajaan Negeri Pahang, saya sangat gembira menerima bantuan ini.
“Memang dalam keadaan ekonomi kita yang sangat merosot ini kita memang perlukan bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang dan YB kita,” katanya yang mewarisi perniagaan lemang, dodol, dan kuih-muih daripada ibunya yang telah mengusahakan perniagaan tersebut sejak 30 tahun lepas.
Sementara itu, menurut penerima BPP Kluster Pemandu Teksi, Encik Jamaludin Abdullah, 66, berkata bantuan ini sangat diperlukan pada masa ekonomi yang tidak menentu ini.

“Saya rasa gembira (dapat bantuan ini) pada masa sekarang, pada masa keadaan terdesak ini memang gembiralah.
“Saya rancang nak guna bantuan ini untuk beli barang rumah sikit, bayar bil api air sikit. Beribu/ribu terima kasih kepada Menteri Besar, YB. Fadzli kerana memberikan bantuan ini,” katanya dari Taman Kemajuan yang telah enam tahun membawa teksi.
Bagi penghantar makanan, Encik Abdul Sulaiman Aziz, 23, pemberian bantuan ini merupakan satu penghargaan daripada Kerajaan Negeri Pahang kepada para penghantar makanan.

“Hari ini saya dapat Bantuan Prihatin Pahang Kluster Food Rider. Saya rasa sangat puas hati, bangga dapat bantuan ini sebab saya dah berkhidmat dengan Food Panda dah lama, setahun lebih.
“Saya juga tak sangka dapat bantuan daripada Kerajaan Negeri ini dan saya ingat nak guna bantuan ini untuk sara diri. Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada YB. Fadzli dan Kerajaan Negeri yang bagi sumbangan ini kepada kami,” katanya yang tinggal di Felda Krau.
Sebanyak 809 penerima BPP kluster ini di daerah ini dengan implikasi kewangan sebanyak RM161,800 melibatkan 739 penjaja, 37 penghantar makanan, dan 33 pemandu teksi yang masing-masing menerima bantuan RM200 seorang. -PAHANGMEDIA

