Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 15 JANUARI 2024 : Keadaan tidak terurus dilalui mangsa banjir selepas ditimpa bencana memerlukan bantuan yang dapat memudahkan urusan mereka terutamanya dalam penyediaan keperluan asas seperti makanan.
Anak syarikat Yayasan Pahang iaitu YP Hevea tampil bersama bantuan melalui produk makanan Retort keluaran mereka yang diberikan kepada 100 orang mangsa banjir di tiga buah perkampungan Orang Asli.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang hadir menyampaikan bantuan tersebut berkata, ia merupakan satu kemudahan yang bermakna kepada mangsa terlibat.

“Makanan dah siap (retort) ni memudahkan, tak perlu masak..dah ada makanan yang siap masak dengan sempurna. Bila mereka diuji dengan banjir, sudah tentu mereka hilang pendapatan untuk beberapa hari, tak dapat menoreh, tak boleh pergi ke kebun,jadi mereka perlu bantuan untuk memudahkan kehidupan seharian.
“Ini adalah kali pertama kita beri bantuan dalam bentuk makanan Retort, selama ini kita bagi bantuan berterusan dalam bentuk wang, keperluan makanan, pakaian dan sebagainya. Jika ada permintaan, keperluan dan kewajaran selepas ini InsyaAllah kita akan teruskan (bantuan makanan Retort),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan banjir kepada masyarakat asli di Sekolah Kebangsaan Buluh Nipis, di sini.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Encik Abd Razak Abu Musa, Ketua Pegawai Eksekutif ORACO, Dato’ Muhammad Olian Abdullah, YB Senator Dato’ Ajis Sitin serta Pengurus Besar YP Hivea, Tuan Suria Othman.
Seramai 100 Orang Asli dari tiga buah kampung di Muadzam Shah iaitu Kampung Buluh Nipis, Kampung Pelam dan Kampung Mikang.
Kesemuanya menerima sumbangan makanan Retort bernilai RM200 bagi setiap satu keluarga dengan implikasi kewangan berjumlah RM 20,000.

Sementara itu mangsa banjir dari Kampung Buluh Nipis, Puan Rohani Abdullah, 45, yang ditemui bersyukur dengan bantuan makanan yang diterima.
“Saya dan tiga orang anak pindah ke pusat pemindahan. Sekarang dah balik rumah banyak benda nak uruskan. Jadi memang mudah bila dapat makanan (Retort) ni, buka sahaja boleh makan.
“Ini pertama kali dapat makanan seperti ini. Boleh bawa ke mana sahaja tak perlu periuk belanga untuk masak. Terima kasih kepada Yayasan Pahang dan Kerajaan Pahang di atas bantuan ini,” katanya.

Seorang lagi penerima dari kampung sama, Puan Mirin Yasin, 33, turut menghargai bantuan yang diberikan kepada dia dan keluarga.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang kerana prihatin dengan keadaan kami yang ditimpa musibah banjir.
“Makanan sebegini memang memudahkan, buka dan terus boleh makan. Kami tak perlu memasak,” katanya. -PAHANGMEDIA

