Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 12 JANUARI 2024 : Sebanyak lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka membabitkan tiga daerah iaitu Maran, Rompin dan Pekan.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, kesemua PPS kini menempatkan seramai 783 mangsa banjir daripada 232 keluarga.
Di Maran, PPS Balairaya Kampung Baru Pertanian menempatkan 25 mangsa daripada lapan keluarga.
Manakala daerah Rompin pula, sebanyak empat PPS masih dibuka dengan menempatkan seramai 188 penduduk terjejas banjir daripada 61 keluarga.
PPS terbabit ialah PPS SK Kampung Aur, PPS SK Leban Chondong, PPS Balairaya Rekoh dan PPS Balairaya Kampung Gadak.
Bagi daerah Pekan pula, seramai 570 mangsa banjir dari 163 keluarga telah dipindahkan ke tiga PPS iaitu PPS SK Pulau Manis, PPS SK Merchong Jaya dan PPS Temai Hulu.
Sehingga jam 4 petang tadi, sebanyak enam sungai mencatatkan kenaikan paras air di daerah Raub, Lipis, Pekan dan Kuantan. – PAHANGMEDIA

