KUANTAN, 10 JANUARI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang membantah penutupan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin.
Perkara itu dinyatakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini berkenaan pendirian yang telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat hari ini.
Malah katanya, Kerajaan Negeri akan mempertahankan supaya universiti yang ditubuhkan pada tahun 2001 ini terus beroperasi di Muadzam Shah.
“Penutupan pengoperasian UNITEN tersebut akan memberi implikasi yang tidak baik kepada rakyat terutama berkaitan kelangsungan pengajian anak-anak muda dan peluang perniagaan serta pembangunan ekonomi penduduk setempat.
“Oleh itu, saya berharap agar cadangan untuk menutup universiti ini perlu dikaji semula demi kesejahteraan semua pihak,” katanya.
Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri Pahang pernah membantah keputusan menutup kampus berkenaan yang diambil Lembaga Pengarah Uniten bagi melaksanakan inisiatif yang dikenali ‘Reimagining Uniten’ bagi memusatkan kampus-kampusnya yang ada ke Putrajaya.
Untuk rekod, kemasukan 200 pelajar pertama pada tahun 2001 sehingga universiti tersebut telah mendidik ribuan pelajar setakat ini dan jumlah itu turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti sosioekonomi di bandar Muadzam Shah.
Kerajaan negeri juga meminta pengurusan Uniten serta pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar dapat menyemak kembali perancangan itu dengan mengambil kira bantahan oleh kerajaan negeri dan pelbagai pihak lain.
Di samping berjasa mendidik ramai anak bangsa di negeri ini, universiti itu juga mempunyai nilai sentimental yang amat bermakna kepada Pahang kerana namanya mengambil sempena nama Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah. -PAHANGMEDIA

