Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang sentiasa bersiap sedia dalam pelbagai aspek dari semasa ke semasa dalam menghadapi Monsun Timur Laut.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata persediaan ini meliputi pelan jangka masa pendek, sederhana, dan panjang.
“Ini adalah yearly event, boleh dikatakan banjir di Negeri Pahang ini sama ada banjir besar, banjir kecil ataupun banjir kilat ia sentiasa berlaku. Jadi kita sentiasa bersiap sedia dari semasa ke semasa.
“Dan kita pun sebelum menghadapi Monsun Timur Laut ini kita sering mengadakan mesyuarat dengan agensi-agensi kerajaan dan kita buat post mortem apa yang berlaku sebelum ini. Makna ada tindakan jangka pendek, jangka masa panjang, jangka masa sederhana. Maknanya kita get ready.
“Setakat ini tak ada (terjadi kejadian di luar kawalan) malahan semua, contohnya bantuan-bantuan barangan semua kita dah hantar ke pengkalan hadapan,” katanya ketika ditemubual secara panggilan oleh Bernama Radio hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang sangat tegas dalam memastikan mangsa banjir berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) demi keselamatan mereka.
“Kita minta mereka pindah. Yang ini satu yang kita tegas, bab-bab ini, kalau kita rasa air sedang naik, kita minta PDRM, Bomba, dan sebagainya arahkan mereka untuk berpindah kerana bagi kita keselamatan nyawa itu lebih penting daripada segala-galanya.
“Alhamdulillah saya ucapkan terima kasih kepada mangsa-mangsa banjir dan agensi-agensi kerajaan sehingga hari ini dapat menjalankan tugas dengan begitu baik. Dan kita tahu di Pahang setakat hari ini belum ada kematian, kita minta dijauhkan. Ini semua adalah kerjasama daripada semua,” katanya.
Menurut beliau lagi, Pahang merupakan negeri pertama yang membina Pusat Pemindahan Kekal (PPK) dan membekalkan makanan retort makanan kepada mangsa banjir.
“Dan di Pahang ini kita ada retort yang kita panggil ready-to-eat. Untuk mereka yang baru dipindahkan tu kita terus bagi pakej tu yang ada nasi lemak, nasi beriani, kerana kita tahu mereka dalam keadaan rumah naik air, jadi tension. Saya ingat kita yang pertama buat menyediakan makanan retort di Pahang ni kepada mangsa-mangsa banjir.
“PPS kita pun daripada semasa ke semasa kita tambah baik. Sebagai contohnya kita di Pahang sudah ada Pusat Pemindahan Kekal yang jauh lebih selesa berbanding PPS tapi itu antara peringkat-peringkat. Yang telah siap di Kampung Luit, Maran, yang saya difahamkan yang pertama di Pahang dan yang pertama di Malaysia. Dan kita akan buat lagi di Lipis, di Temerloh, di Kuantan dan di Pekan,” katanya.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata pemantauan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS turut diambilberat oleh Kerajaan Pahang melalui agensi-agensi terlibat.
“Kita memantau tandas sentiasa bersih dan kita ada agensi-agensi kerajaan yang terlibat yang menjaga di setiap PPS. Maknanya kita ada Majlis Daerah, kita ada bomba, kita ada PDRM, dan kita ada APM yang sentiasa memantau.
“Dan kita tidak biarkan begitu sahaja. Kita akan sentiasa memberi taklimat, memberitahu kepada mereka perkembagan semasa dan sebagainya.
“Kita ada ancaman COVID-19 dan walaupun ianya terkawal tetapi pihak Kesihatan pun terlibat di dalam menjaga PPS ini. Mereka akan sentiasa memantau dan memastikan penjarakan dan kesihatan semuanya diambil tahu dan dijaga dengan elok,” katanya.
Setakat ini tiga PPS di Jerantut, Lipis, dan Kuantan dibuka menempatkan 90 mangsa banjir daripada 26 keluarga. -PAHANGMEDIA