Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 25 DISEMBER 2023 : Mangsa banjir terus meningkat kepada 513 orang sehingga jam 4 petang tadi membabitkan dua daerah iaitu Raub dengan 379 mangsa dan Lipis seramai 134 mangsa.
Sebanyak 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka dengan lapan PPS di Daerah Raub dan dua PPS di Lipis.
Di Raub jumlah mangsa banjir meningkat kepada 379 orang daripada 94 keluarga.
Seramai 55 mangsa banjir daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Pamah Kulat, di PPS Rumah Pertanian Kampung Pamah Rawas menempatkan 107 orang daripada 29 keluarga dan PPS Surau Kampung Peruas menempatkan 65 orang daripada 14 keluarga.
Manakala PPS Balairaya Kampung Pamah Rawas pula kini menempatkan 20 mangsa daripada empat keluarga dan PPS Dewan Lechar menempatkan 65 mangsa daripada 13 keluarga.
Sementara itu, PPS Dewan Orang Ramai Bukit Pampong pula menempatkan 51 mangsa daripada 13 keluarga, seramai 14 mangsa daripada enam keluarga pula dipindahkan ke PPS Balairaya Kampung Kuala Keloi dan PPS Dewan Dato Deriwa Dong pula menempatkan seramai dua mangsa daripada satu keluarga.
Bagi Daerah Lipis pula, seramai 113 daripada 22 keluarga telah dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kuala Serau dan seramai 21 mangsa daripada enam keluarga pula dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kuala Medang.
Menurut laporan daripada Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, keadaan banjir di dua daerah berkenaan kini menunjukkan tren meningkat.
Sehingga kini, dua sungai yang berada di paras bahaya iaitu Sungai Jelai, Kuala Medang di Lipis dan Sungai Luit, Kampung Subuh di Maran. – PAHANGMEDIA

