Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion bagi meningkatkan perkhidmatan bekalan air di negeri ini dan seterusnya memberi keselesaan kepada semua pengguna.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri dan PAIP sangat komited dalam memastikan 90 peratus isu bekalan air di Negeri Pahang dijangka dapat diselesaikan pada penghujung tahun 2026.
“Agenda Air Pahang ini amat besar dan kompleks, mempunyai beberapa kompenen, memerlukan perancangan rapi, masa dan peruntukan kewangan yang besar.
“Malah kini, segala inisiatif berada di landasan yang betul. Kerja-kerja sedang giat dilaksanakan demi memastikan hasrat ini dapat dicapai secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, sehingga kini PAIP telah berjaya menyiapkan sebanyak 226 projek perkhidmatan bekalan air di seluruh Pahang membabitkan peruntukan bernilai RM275.1 juta daripada pelbagai sumber termasuklah 17 projek pembangunan yang telah siap sepanjang tahun 2023.
Antara projek yang telah selesai dilaksanakan adalah pembinaan loji Rawatan Air (LRA) baharu Karak 2, kerja-kerja menukar muka sauk Rumah Pam Kobat Daerah Kuantan dan kerja-kerja menaiktaraf LRA Sungai Jelai di Lipis.
Manakala 37 projek yang sedang dalam pelaksanaan di mana Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada kontraktor yang dilantik dengan nilai keseluruhan bagi semua projek berjumlah RM465 juta.
Antara projek yang sedang dalam pelaksanaan adalah pembinaan tangki air baharu di Gebeng, Kuantan, projek penggantian paip lama di Pekan Tajau di Maran, Kawasan Teruntum di Kuantan, Kampung Tanjung Agas di Pekan, Kampung Chendera ke Ulu Atok di Raub serta Kampung Terengging dan Paya Luas di Temerloh.
Bagi 87 projek yang masih belum dilaksanakan adalah sedang di peringkat pra-pembinaan di mana kerja-kerja merancang serta mendapat keperluan kelulusan pelbagai peringkat sedang giat dibuat. – PAHANGMEDIA

