Oleh : Fara Rosli
KUANTAN, 6 DISEMBER 2023: Kerajaan Pahang telah menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang (MPEN) yang berkuat kuasa 1 Disember 2023 untuk tempoh dua tahun
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, MPEN berfungsi merancang dan menggubal Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang untuk tempoh lima bagi mempercepatkan usaha ke arah pembangunan ekonomi negeri yang mampan.
“MPEN ditubuhkan agar Kerajaan Negeri dapat menggabungkan pengalaman dan kepakaran ahli-ahlinya daripada sektor swasta dan Kerajaan Negeri,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, MPEN juga bertanggungjawab memberi nasihat strategik tentang peluang-peluang pembangunan, cabaran dan perkembangan ekonomi baharu yang memberi fokus kepada pembangunan industri, tarikan pelaburan dan perdagangan, serta pembangunan wilayah dan tenaga kerja.
Beliau berkata, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) juga telah dilantik sebagai Sekretariat MPEN manakala Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak pula merupakan pengerusi MPEN dan turut dianggotai oleh sembilan orang ahli iaitu dua orang anggota Exco Kerajaan Negeri Pahang, dua orang Pegawai Kanan Negeri serta lima lagi ahli.
Dalam pada itu, dalam usaha menjadikan Pahang sebuah negeri maju, beliau berharap agar penubuhan MPEN dapat membantu memacu sektor ekonomi negeri ini dengan lebih baik, komprehensif serta berdaya saing.
Pada hari ini telah diadakan sesi penyerahan Surat Lantikan Ahli MPEN kepada YBhg. Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr Noorul Ainur Mohd Nur yang berlangsung di Wisma Sri Pahang. – PAHANGMEDIA

