Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 DISEMBER 2023 : Sebanyak 24 program advokasi telah dilaksanakan untuk pengguna Klik Dengan Bijak (KDB) di seluruh negeri Pahang setakat 30 Oktober lalu bagi memberi kesedaran berkenaan jenayah siber.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata program yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melibatkan 9,200 audien.
“Bagi menjawab pertanyaan daripada Yang Berhormat ADUN Chini berkenaan kempen kesedaran jenayah online (scammer), selain tindakan pencegahan dan penguatkuasaan diambil oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, perkara yang turut diberikan keutamaan ialah usaha meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung aktiviti yang salah di sisi undang-undang, termasuklah kegiatan penipuan atas talian dan jenayah telekomunikasi.

“Justeru, dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran dikalangan rakyat Negeri Pahang, Kerajaan Negeri Pahang bersama pihak MCMC, telah menggerakkan pelbagai program advokasi untuk pengguna yang dinamakan Klik Dengan Bijak (KDB).
“Berdasarkan rekod sehingga 30 Oktober lalu, sebanyak 24 program advokasi telah dilaksanakan oleh MCMC di seluruh negeri Pahang yang melibatkan seramai 9,200 orang audien yang terdiri dari orang awam, kakitangan Kerajaan, pelajar IPTA dan sekolah menengah.
“Sehubungan itu, program Klik Dengan Bijak (KDB) ini akan diteruskan pada tahun 2024 dan pihak MCMC bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana agensi, jabatan kerajaan, pihak NGO dan institusi pendidikan yang memfokuskan kepada perkongsian informasi berkenaan jenayah siber, penipuan atas talian atau yang seumpama,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 244 tapak telah siap dibangunkan di negeri inj bagi pelaksanaan 5G di Pahang setakat 30 September lepas.
“Bagi pelaksanaan 5G di Pahang oleh Digital Nasional Berhad (DNB) iaitu anak syarikat milikan penuh Kementerian Kewangan Malaysia, ianya telah bermula pada penghujung tahun 2022 bagi menyiapkan sebanyak 361 tapak di Negeri Pahang.
“Daripada jumlah tersebut, sehingga 30 September 2023, sebanyak 244 tapak di Pahang telah siap dibangunkan oleh DNB. Baki 117 tapak lagi sedang dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka akan siap secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. – PAHANGMEDIA

