Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang telah memperuntukan sebanyak RM24.43 juta bagi merencanakan program bantuan dan inisiatif khusus untuk usahawan di negeri ini.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata sebanyak 112,410 perniagaan melibatkan pemilikan tunggal dan perkongsian berstatus aktif direkodkan setakat 30 Oktober tahun ini.
“Sebanyak 64.54 peratus daripada 112,410 jumlah keseluruhan pendaftaran perniagaan merupakan pemilikan bumiputera dan ini menunjukan data yang signifikan bagi Kerajaan Negeri dengan memperuntukan sejumlah RM24.43 juta bagi merencanakan program-program bantuan dan inisiatif khusus untuk usahawan di Negeri Pahang.
“Dengan peruntukan sedemikian rupa, saya kira ianya amatlah mencakupi pelbagai aspek usahawan dari sudut pengukuhan kewangan, keupayaan dan ketersediaan cabaran mendatang, dan keterjaminan daya saing pasaran tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau lagi, industri asas tani menerima manfaat sebanyak RM16.06 juta daripada peruntukan keseluruhan yang dipecahkan mengikut sektor dan kluster usahawan.
“Peruntukan keseluruhan RM24.43 juta dicerakinkan mengikut sektor dan kluster usahawan di mana industri asas tani boleh memanfaatkan sebanyak RM16.06 juta termasuk kemudahan pembiayaan di bawah inisiatif Dana Pusingan Pensijilan bagi membantu para pengusaha mendapatkan pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan pensijilan Halal melalui kerjasama Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank).
“Bukan itu sahaja, sebanyak RM7.55 juta diperuntukan khusus pembangunan usahawan yang turut melibatkan kemudahahan pembiayaan melalui inisiatif Skim I-PUSH, memperkasakan sistem usahawan, menyertai program dan pameran perdagangan antarabangsa, dan mengadakan kursus bimbingan usahawan berkaitan digital,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang turut memberi fokus kepada golongan wanita di negeri ini dalam bidang keusahawanan melalui peruntukan yang disalurkan.
“Skop usahawan turut memfokuskan kepada golongan wanita selaku tonggak keluarga di mana sebanyak RM820,000 diperuntukan bagi bimbingan dan latihan termasuk pelaksanaan pelbagai program sebagai contohnya Anggun Maju,” katanya. -PAHANGMEDIA

