Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang sedang dalam perancangan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pulau Tioman sebanyak 450 meter menjadikan panjang keseluruhan kepada 1.3 kilometer.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Kerajaan Negeri Pahang telah mendapatkan nilaian tanah bagi lot terlibat dengan projek berkenaan.
“Kerajaan Negeri Pahang sedang dalam proses pelaksanaan cadangan alternatif bagi menaik taraf Lapangan Terbang Pulau Tioman dengan pemanjangan landasan yang sedia ada daripada 850 meter kepada 1,300 meter bagi membolehkan pendaratan pesawat jenis ATR42-600 dan pesawat jenis ATR72-600.
“Pihak Kerajaan Pahang melalui Pejabat Daerah dan Tanah Rompin telah mendapatkan nilaian tanah daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi lot-lot yang terlibat dengan pemanjangan landasan tersebut.
“Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan Tahun 2024 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM47,000,000 untuk menaik taraf Lapangan Terbang sedia ada bagi meningkatkan keupayaan operasi untuk memenuhi peningkatan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain berkenaan status terhadap projek lapangan terbang Pulau Tioman dan status pembinaan atau baik pulih jeti kargo di marina Kampung Tekek, Pulau Tioman pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau lagi, projek menaiktaraf jeti kargo di Kampung Tekek telah diluluskan dengan kos sebanyak RM4 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Projek Menaik Taraf Jeti Kargo Kampung Tekek, Pulau Tioman telah diluluskan dalam Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan kos RM 4 juta. Agensi pemilik adalah Jabatan Laut Malaysia,” katanya. -PAHANGMEDIA

