Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang menyediakan tiga inisiatif di bawah perspektif Majlis Pekerja Negeri Pahang (MPNP) bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang berkata, tiga inisiatif itu ialah Pahang 1st Job yang memberi bimbingan kepada graduan tamat belajar dan Program Sirih Pulang Ke Gagang yang menawarkan rumah sewa berkadar rendah kepada rakyat Pahang yang bekerja di Pahang dengan kerjasama Lembaga Perumahan Negeri Pahang (LPHP).
”Kerajaan juga berusaha meningkatkan kesediaan industri dalam penyediaan latihan dan mengurangkan ketidaksepadanan pasaran buruh di Negeri Pahang dengan menyediakan latihan kepada pekerja (inhouse, program, protege),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tras, YB. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang juga telah menyediakan peluang pekerjaan kepada belia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di dalam siri-siri temuduga MYFutureJobs (Portal Pekerjaan Nasional Malaysia) yang dilaksanakan secara harian, karnival berskala sederhana dan berskala besar.
“Bagi membendung pengangguran di kalangan belia, Bajet Belanjawan 2023 di bawah Kerjaya Madani telah menyediakan Program Daya Kerjaya dan Program Bina Kerjaya untuk membantu ‘reskilling & upskilling’ kepada lepasan SPM dan mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.
“Anak muda Negeri Pahang adalah disarankan untuk berdaftar di bawah program ini kerana ianya adalah percuma di bawah belanjawan 2023 Kerjaya Madani. Sehingga September 2023 seramai 4,829 orang telah berjaya mendapat pekerjaan di bawah portal MY FutureJobs yang ditadbir oleh PERKESO Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA