Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2023 : Pertambahan bilangan pelancong ke Kuantan turut melibatkan kawasan Tanjung Lumpur sehingga jajaran pantai ke Pantai Sepat yang menjadi tumpuan ramai.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man berkata, Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035 menggariskan strategi menjenamakan Tanjung Lumpur sebagai lokasi makanan tempatan dan makanan laut.
“Antara strategi pelancongan dan tindakan ialah Biophilic City at Kuantan 2022 di kawasan Hutan Paya Bakau Tanjung Lupur dan Peramu, Blue Carbon Trail di sepanjang pinggir sungai kawasan Tanjung Lumpur sehingga ke muara sungai serta Kuantan Food and Traditional Cuisine Centre di Tanjung Lumpur.
“Selian itu inisiatif Majlis Bandaraya Kuantan pada tahun 2022-2023 adalah pembangunan kawasan Serambi Teruntum dengan pembinaan Pasar Ikan Basah (RM3 juta), Jalan Pintasan Tanjung Lumpur ke Serambi Teruntum (RM1.2 juta) dan penganjuran pelbagai program,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, YB Tuan Haji Rosli Abdul Jabar berkenaan perkembangan Tanjung Lumpur sebagai kawasan Pelancongan pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau menjawab soalan dari ADUN sama berkenaan usaha yang diambil Kerajaan Negeri menaik taraf Pantai Anak Air sebagai kawasan pelancongan.
“Kerajaan Negeri sedang membangunkan pantai-pantai di seluruh negeri Pahang yang telah dikenalpasti dan projek naik taraf akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memberi kemudahan kepada pengunjung yang hadir,” katanya.
Menyentuh tular mengenai Kuantan yang disebut dalam anime popular jepun iaitu Jujutsu Kaisen, YB Cik Leong Yu Man berkata ia merupakan salah satu faktor yang membantu menarik pelancong khususnya peminat-peminat anime untuk berkunjung ke Kuantan.
“Pihak Tourism Pahang juga sedang menghubungi penulis anime tersebut untuk menjemput beliau ke Kuantan sebagai salah satu usaha mempromosikan pantai serta tempat-tempat unik dan menarik yang ada di daerah ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

